sukan

Bojan terima pelbagai tawaran dari seluruh pelusuk benua Asia

BOJAN Hodak akan terus kekal mengemudi Kuala Lumpur (KL) City FC bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard yang menjelaskan keputusan mengekalkan Bojan selaras dengan sasaran kelab untuk terus memberikan saingan dalam kancah bola sepak negara.

“Sukacita saya ingin mengumumkan Bojan Hodak akan terus kekal bersama kami untuk musim ketiganya walaupun beliau menerima pelbagai tawaran dari seluruh pelusuk benua Asia.

“Keputusan mengekalkan Bojan ini selaras dengan sasaran kelab untuk mencapai ketekalan dan daya saing sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, KL City FC juga akan mengekalkan khidmat pemain-pemain yang berperanan besar dan penting dalam membantu kejayaan pasukan sejak dua musim yang lalu.

“Kami juga telah melaksanakan penambahan beberapa pemain yang dilakukan sebelum ini bagi memperkuatkan skuad.

“Rundingan juga sedang dimuktamadkan bersama beberapa pemain lain pada ketika ini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan KL City FC telah melakukan persediaan awal seperti yang dilakukan sejak beberapa musim lalu.

“Ini membantu mengukuhkan cita-cita kami dalam membawa KL City FC sebagai kelab yang disegani, cekap dan konsisten dan bersaing dalam semua bidang.

sumber : SH

“Kejayaan yang dikecapi sejak dua tahun kebelakangan ini telah mewujudkan satu platform baharu bagi kami mara lebih jauh ke hadapan di samping mempercepatkan hala tuju ke arah matlamat kami,” katanya.