sukan

Maghribi cipta sejarah singkirkan bekas juara dunia

Achraf Hakimi menjaringkan penalti kemenangan untuk menyingkirkan Sepanyol dan membawa Maghribi ke suku akhir Piala Dunia buat pertama kali, memenangi penentuan penalti 3-0 selepas terikat 0-0 di Stadium Education City, Doha.

Pengendali Sepanyol, Luis Enrique mendakwa pasukannya melakukan persediaan untuk perlawanan itu dengan mengambil 1,000 sepakan penalti, tetapi Pablo Sarabia, Carlos Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan mereka.

Sarabia yang dimasukkan lewat permainan, hampir meletakkan Sepanyol di depan pada minit terakhir masa tambahan, namun rembatannya terkena tiang. Dia kemudian mengambil penalti pertama Sepanyol, tetapi turut terkena tiang.

Busquets berkata, kekalahan di tangan Maghribi cukup k3jam buat pasukannya.

“Ia menyedihkan. Ia ditentukan menerusi sepakan penalti yang cukup kejam. Ia amat sukar buat kami.”Kami cuba memenatkan mereka, biarkan mereka berlari, mencari ruang. Namun kami tidak bernasib baik dengan sentuhan terakhir,” kata Busquets.

Busquets, 34, bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada dia akan terus bersama pasukan kebangsaan.

“Sekarang yang penting ialah pasukan kebangsaan dan bukan saya. Ia malam yang sukar dan kami perlu bangkit serta menggunakan pengalaman ini untuk perlawanan kami. Pemain-pemain muda yang ada akan membantu pasukan,” katanya.

Maghribi kendalian Walid Regragui akan berdepan Portugal atau Switzerland pada suku akhir – pencapaian terbaik mereka selepas tersingkir di peringkat 16 terakhir pada edisi 1986.

sumber:- BH

Sepanyol meletakkan harapan untuk mengulangi kejayaan Piala Dunia 2010 selepas mara ke separuh akhir Euro 2020, di mana mereka tewas penentuan penalti kepada Itali. – AFP