sukan

Pasangan Negara kejutkan Juara Olimpik

Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri badi kekalahan di tangan pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dongping apabila melakar kemenangan pada aksi pertama Kumpulan B saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Pasangan nombor lapan dunia itu memastikan permulaan sempurna buat mereka di kejohanan akhir musim berkenaan menerusi kemenangan 23-21, 14-21 21-16 ke atas Yi Lyu-Dongping yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam aksi di Arena Nimibutr.

Sebagai rekod, Kian Meng-Pei Jing tidak pernah menang ke atas lawan yang menghuni ranking keempat dunia itu apabila tewas dalam semua tujuh pertemuan sebelum ini.

Kami sangat berpuas hati dengan permainan kami hari ini, semua strategi permainan kami berjalan seperti yang dirancang. Fokus kami dalam perlawanan ini juga sangat baik.

“Ini adalah kali pertama kami berjaya menewaskan mereka, sebelum ini kami tewas dalam tujuh perlawanan berturut-turut. Sudah tentu kami sangat gembira dengan kemenangan dan berharap dapat mengekalkan momentum untuk perlawanan seterusnya,” kata Pei Jing selepas tamat perlawanan.

Kian Meng-Pei Jing berdepan satu lagi tugas mencabar apabila dijadual bertemu pasangan nombor satu dunia yang juga juara bertahan, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand untuk aksi kedua peringkat kumpulan, esok.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang tewas dalam aksi pertama Kumpulan B di tangan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Juara Terbuka Perancis itu terpaksa akur dengan kekalahan 21-23, 19-21 kepada Rahayu-Siti Fadia.

Bagaimanapun, pasangan nombor sembilan dunia itu tekad untuk bangkit apabila bertemu juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada aksi kedua kumpulan esok.

“Saya fikir permainan hari ini tidak seperti yang kami rancang. Saya juga kurang yakin untuk melakukan beberapa pukulan sekali gus menjejaskan rentak permainan kami dalam perlawanan ini.

“Apapun, kami harap akan lebih fokus dan dapat menampilkan prestasi yang lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” kata Thinaah.

Nasib sama turut dialami satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin apabila tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 18-21-13-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

sumber:- BH

Perlawanan kedua esok menyaksikan mereka dijadual bertemu beregu Thailand, Benyapa Aimsaard- Nuntakarn Aimsaard.