Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula ‘langkah kiri’ apabila tewas aksi pertama Kumpulan B saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila tunduk di tangan beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 12-21, 15-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Nimibutr.
Kekalahan menyaksikan pasangan nombor empat dunia itu gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga pertemuan terakhir sebelum ini ke atas pasangan itu termasuklah ketika menewaskan mereka di final Kejohanan Dunia di Jepun, Ogos lalu.
“Kami bermula dengan agak perlahan dan mereka mengawal permainan dengan baik. Kami agak kecewa kerana ia adalah perlawanan 50-50 dan tidak seharusnya tewas dengan agak mudah seperti ini.
“Apa pun, kami jadikan kekalahan ini sebagai iktibar. Kami akan bangkit dalam perlawanan seterusnya dan melakukan dengan lebih baik lagi,” kata Wooi Yik selepas tamat perlawanan.
Aaron-Wooi Yik tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada aksi kedua kumpulan, esok bagi menghidupkan peluang ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mengalami nasib sama apabila tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 19-21, 16-21 dalam aksi Kumpulan A.
Mereka dijadual bertemu pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho untuk aksi kedua kumpulan, esok.
Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mengalami kekalahan dalam perlawanan pertama dalam saingan Kumpulan A selepas tunduk kepada Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia 12-21, 15-21.
sumber:- BH
Soon Huat-Shevon akan bertemu juara Eropah dari Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue pada aksi kedua kumpulan.