sukan

Komen Darren menjelang aksi menentang Kemboja

Penyerang kacukan skuad Harimau Malaya, Darren Lok mengakui tiada sebarang tekanan dirasai sepasukannya menjelang aksi persahabatan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Darren, 31, yang bakal berhijrah ke pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim depan menjelaskan, tahap motivasi pasukan berada dalam ‘mood’ terbaik biarpun terdapat ramai muka baharu dalam skuad kali ini.

Dia yang sudah meledak 13 gol bersama Petaling Jaya City FC sepanjang dua musim lalu menambah, aksi dengan Kemboja akan dijadikan platform terbaik buat pemain meraih minit permainan selain kefahaman tentang taktikal diterapkan pengendali, Kim Pan-gon.

“Sudah tentu perlawanan esok amat penting dan mustahak untuk pemain mendapatkan minit permainan.

“Seperti mana jurulatih katakan, terdapat ramai pemain baharu dalam pasukan dan kami tahu apa yang terbaik dirancang jurulatih.

“Kami sedang berusaha memahami sistem permainan ditekankan dan sehingga ke perlawanan nanti, ia penting untuk kami gunakan dalam perlawanan serta mendapatkan minit permainan,” katanya pada sidang media pra perlawanan, hari ini.

Ujar tonggak berdarah England-Malaysia itu, kemenangan turut menjadi misi pasukan biarpun ia sekadar perlawanan persahabatan.

“Macam saya katakan, penting untuk kami dapatkan minit dan ikut segala arahan diberikan daripada jurulatih.

“Sudah tentu kami mahukan keputusan positif dan pada masa sama, persembahan kami perlu baik.

“Esok lebih kepada permainan dan untuk melihat kami memahami sistem permainan ditekankan.

sumber:-HM

“Apapun, kami akan sentiasa berikan yang terbaik bagi membanggakan penyokong dan kami akan berikan yang sehabis baik, sekali gus membanggakan negara,” katanya.