sukan

Baddrol akan berentap dengan empat lagi

Pemain tengah Sabah FC, Baddrol Bakhtiar mengakui misi sukar untuk terus mempertahankan gelaran Pemain Tengah Terbaik 2022 selepas sekali lagi tercalon dalam kategori itu untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).

Baddrol yang berjaya merangkul tiga kali trofi ABK bagi kategori itu pada tahun 2010, 2017 dan 2021 menganggap pencalonan kali ini cukup bermakna buat dirinya yang baru berhijrah ke Sabah pada musim ini.

Sudah tentu, Baddrol mengidamkan kemenangan kali keempatnya namun sedar kebangkitan yang ditampilkan oleh dua pesaing iaitu Mukhairi Ajmal (Selangor FC) dan Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim) bersama pasukan masing-masing wajar diberi perhatian.

Bagaimanapun, Baddrol tetap menganggap pencalonan kali ini membuktikan usahanya bersama rakan sepasukan berbaloi untuk meletakkan Sabah di tempat ketiga Liga Super musim ini.

“Saya masih berharap dapat mempertahankan gelaran itu tetapi saya akui pesaing-pesaing memang sengit sebab kita tahu apa yang dah mereka capai sepanjang perjalanan musim ini.

“Tetapi saya tetap bersyukur dan terharu untuk pencalonan ini dan sudah pasti hanya yang terbaik akan merangkul trofi itu nanti.

“Yang penting ini akan mendorong lagi kebangkitan kami di Sabah dan kita berjaya membawa Sabah di kedudukan ketiga selain dapat beraksi dalam Piala AFC.

“Kita juga tidak ambil masa yang begitu lama untuk saya dan pemain-pemain baharu lain sebelum ini untuk bawa pasukan ke tahap terbaik pada musim 2022”, jelasnya.

Selain itu, Mukhairi juga menganggap pencalonan kali pertama untuk kategori ini memberi semangat baharu untuknya meneruskan lagi momentum sepertimana yang sudah dilakukan bersama Selangor musim ini.

Tidak berharap terlalu tinggi untuk memenanginya, namun dia tetap bersyukur apabila dapat bersaing dengan calon yang lebih senior sekali gus membuktikan prestasinya kini berada di tahap terbaik.

“Saya pun terkejut juga apabila dapat tahu tercalon untuk kategori ini sebab kalau kita tengok Baddrol dan Afiq adalah pemain yang lebih berpengalaman.

“Dan saya bersyukur apabila usaha saya selama ini telah meletakkan saya dalam kelompok tiga terbaik untuk kategori itu, jadi InsyaAllah menang atau tidak, saya akan tetap terus berusaha pada musim depan”, jelasnya.

Afiq Fazail pula sebelum ini pernah tercalon bersama-sama Natxo Insa dan Baddrol pada musim lalu bagi kategori Pemain Tengah Terbaik.

Nyata, pemain berusia 28 tahun itu juga tetap berpeluang selepas berjaya menampilkan aksi memuaskan untuk membantu JDT meraih kejayaan berterusan pada musim ini. Afiq melakukan 27 penampilan untuk JDT dalam saingan Liga Malaysia 2022 dengan mencatat dua jaringan dan lima bantuan gol.

ABK22 akan berlangsung secara virtual pada Khamis, 15 Disember 2022, jam 9 malam di mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan.

Anugerah yang dipertandingkan ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

sumber:-HM

Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Perdana, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.