sukan

Buktikan malam ini

Peminat sukan sudah pasti pernah menyaksikan filem ‘The Replacements’ lakonan Keanu Reeves yang diinspirasikan daripada mogok NFL 1987.

Dalam filem komedi sukan yang mengetengahkan Bola Sepak Amerika sebagai teras, plotnya berkisar mengenai kejayaan pasukan Washington Sentinels yang berdepan masalah apabila pemain utamanya enggan beraksi ketika saingan berbaki empat perlawanan.

Situasi itu memaksa pasukan itu memanggil pemain pengganti bagi memastikan pasukan itu dapat terus beraksi sehingga hujung musim dan memburu slot ke ‘playoff’.

Selepas berdepan pelbagai masalah dan jalan berliku, pasukan dikemudi ‘quarterback’, Shane Falco lakonan Reeves mencipta kejayaan apabila pemain gantian itu membawa Washington Sentinels layak ke perlawanan ‘playoff’.

Tidak keterlaluan jika kita menganggap perkara sama turut dihadapi jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang ‘kempunan’ mendapatkan pemain utamanya sekali gus bergantung kepada muka baharu ataupun ‘pengganti’ kepada pemain utama menjelang aksi persahabatan men3ntang Kemboja di Stadium Nasional, malam ini.

Bukan mahu memperkecilkan kemampuan dan semangat mereka tetapi realitinya – peluang ini ‘sampai’ kepada mereka memandangkan pemain utama tidak bersama skuad kebangsaan ketika ini.

Jadi peluang seperti ini tidak akan selalunya hadir dan situasi ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk barisan pemain ini membuktikan yang mereka juga boleh memberikan sesuatu kepada skuad Harimau Malaya.

Inilah kesempatan terbaik supaya peluang ‘sekali’ ini akan datang ‘berkali-kali’, siapa tahu mungkin nama anda akan sentiasa ‘lekat’ dalam skuad kebangsaan selepas ini.

Apa yang menarik adalah untuk menyaksikan bagaimana Pan Gon menyusun ‘buah catur’ baharu kerana Pan Gon mungkin sudah masak dengan yang ‘lama’, sudah faham ‘ragamnya’ tetapi kali ini, ternyata berbeza.

Mampukah ‘buah catur’ baharu ini menterjemahkan apa yang dimahukan Pan Gon pada dua aksi persahabatan berdepan Kemboja dan Maldives yang menjadi ‘praperlawanan’ kepada aksi Piala AFF 2022?

Dua aksi ini bukan persahabatan semata-mata – ini satu ujian kepada Pan Gon dalam mendepani cabaran tidak mendapat pemain utama diinginkan dan juga kepada pemain untuk menunjukkan mereka setaraf dengan pemain utama.

sumber:- BH

Jika pemain gantian mampu membawa Washington Sentinels ke ‘playoff’, siapa tahu pemain kali ini mampu membantu Malaysia menjulang Piala AFF 2022.