sukan

Henti kecam Harry Maguire

Pemain tengah England, Kalvin Phillips menyokong rakan sepasukannya Harry Maguire ketika pertahanan tengah yang sering diejek itu bersiap sedia bagi ujian paling getir suku akhir Piala Dunia menentang Perancis pada awal pagi Ahad ini.

Pertahanan Manchester United, Maguire hanya bermula dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini disebabkan kecederaan mahupun kehadiran pemain Argentina, Lisandro Martinez, tetapi beraksi mantap setakat ini buat England di Qatar, yang mana dia bermula dalam setiap perlawanan.

Ia bermakna perubahan nasib yang ketara buat Maguire, yang menjadi bahan jenaka di media sosial selepas beraksi buruk musim lalu.

Phillips berkata, dia percaya kebanyakan ejekan terhadap Maguire adalah salah.

“Saya sedar Harry Maguire tidak banyak beraksi musim ini tidak seperti yang diinginkannya dan dia mendapat banyak kecaman, yang saya fikir tidak sepatutnya,” kata Phillips pada sidang akhbar.

“Saya fikir dia seorang pemain profesional ternama dan seorang pemain bola sepak yang hebat dan apa yang anda perlu lakukan adalah menonton England pada kejohanan utama dan apabila dia beraksi untuk Manchester United, saya rasa, dia seorang daripada pertahanan terbaik di dunia dan bagi England dia seorang daripada pertahanan terbaik dalam tempoh yang lama terutamanya pada kejohanan utama,” katanya.

Phillips berasakan Maguire, yang akan berdepan penjaring gol terbanyak Perancis, Olivier Giroud awal pagi Ahad ini, adalah seorang pemain yang boleh diharapkan England.

“Dia sering kali pemain yang mana apabila kami berdepan sepakan percuma atau apabila kami perlu menghalang atau apabila seseorang perlu melakukan terjahan, dia sering kali orang pertama yang melakukannya.

“Dia juga sentiasa menjadi orang pertama untuk menanduk bola. Apatah lagi, dia pernah menjaringkan beberapa gol penting sebelum ini,” katanya.

“Saya fikir ramai orang… kerana dia diejek banyak kali sebelum ini, dia akan menjadi orang pertama menjadi kecaman mereka jika sesuatu yang buruk berlaku terhadap pasukan England, dia orang pertama yang akan disebut.

sumber:-BH

“Ia amat tidak wajar. Seperti saya katakan, jika anda lihat aksinya pada kejohanan utama dan bagaimana bagusnya dia bermain, anda tidak boleh mengutuknya kerana dia sudah beraksi dengan mengagumkan,” jelas Phillips. – AFP