sukan

Pan Gon terkejut, sungguh tak menyangka

Raut wajah kacak Kim Pan-gon cukup ‘manis’ sejurus tamat aksi persahabatan menentang Kemboja apabila mengakui terkejut dan tidak mempercayai mampu melakar kemenangan besar dalam aksi itu.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Malaya membelasah Kemboja 4-0 biarpun menurunkan barisan kedua atau skuad ‘Malaysia B’ susulan penarikan diri ramai tonggak utama untuk kem latihan kali ini.

Jelas Pan-gon, beliau tidak menyangka persembahan anak buahnya begitu baik meskipun belum mencapai 100 peratus piawaian sebenar.

Namun katanya, pemain berjaya menterjemahkan apa yang ditekankan dalam latihan kepada perlawanan sebenar dan ia sudah cukup memuaskan hatinya sekali gus melihat persiapan pasukan ke Piala AFF berada pada landasan tepat.

“Tahniah kepada semua pemain Harimau Malaya terutama yang melakukan debut hari ini. Saya tidak menjangkakan dapat menjaringkan empat gol kerana banyak pemain baharu tetapi saya dapat lihat banyak perubahan dari sehari ke sehari dan kami dilihat seperti sudah lama bersama.

“Kami juga gembira dengan sokongan para penyokong yang hadir terutama ketika musim Piala Dunia. Sokongan seperti inilah yang membuatkan kami menjadi lebih bersemangat untuk berjuang kepada semua penyokong.

“Pemain menterjemahkan segala maklumat yang mereka terima ketika sesi latihan pada perlawanan ini. Mereka mengikuti segala arahan dan walaupun sedikit bergelut pada 10 minit pertama namun selepas itu saya gembira dan tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya selepas aksi itu.

Dalam aksi pemanas badan itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila berjaya mendahului 1-0 seawal minit ke-11 menerusi ketua pasukan, Faisal Halim sebelum Darren Lok menggandakan jaringan di minit 38.

Faisal terus mencetak gol ketiga di hujung babak pertama sebelum Stuart Wilkin menutup malam gemilang Malaysia di minit 86.

Pan-gon turut memuji aksi mengagumkan tonggak pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem yang berjaya menunjukkan persefahaman baik dengan tonggak lama seperti Khuzaimi Piee.

“Saya minta Sharul untuk melakukan sumbangan turun bermain walaupun baru saja menyertai kem latihan. Saya tahu itu adalah satu tugasan berat, saya sangat sangat hargai semangat yang ditunjukkan olehnya,” katanya.

sumber:-HM

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan aksi persahabatan menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Rabu ini.