sukan

Pemain pinjaman pun kena sakau

Bukan saja gaji tidak dibayar, malah difahamkan gaji pemain berstatus pinjaman juga di ‘sakau’ oleh Melaka United FC (MUFC) apabila pemain yang dipinjamkan langsung tidak menerima sebarang pembayaran, meskipun ia dibayar oleh pasukan lain.

Luahan itu dibuat pemain MUFC, Faizal Talib yang dipinjamkan ke Penang FC di mana gaji yang dibayar oleh skuad Harimau Kumbang itu tidak diterimanya hingga menyebabkan dia terpaksa menanggung hutang keliling pinggang.

Difahamkan, Faizal antara pemain MUFC yang dipinjamkan ke pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Berdasarkan perjanjian pinjaman antara kedua-dua pasukan, Penang FC perlu membayar gaji pemain namun ia perlu dikreditkan ke akaun majikan asal iaitu MUFC yang kemudiannya akan menyalurkan duit berkenaan kepada pemain terbabit.

Tetapi sebaliknya berlaku apabila Faisal mendakwa dia langsung tidak merasai gaji yang dibayar Penang FC, dan situasi makin parah apabila MUFC cuba lari dengan tidak mengendahkan tuntutan pemain itu.

“Tanya pasal gaji terus kena ‘block’..ehh apa kelakau (kelakar) ini, saya salah tanya ke, bukan tanya gaji Melaka pun, saya tahu tengah ada masalah, saya faham saya cuma nak gaji ‘loan’ saya tu saja.

Janji nak kasi tapi sampai sekarang satu pun tak ada. Macam-macam kena bayar. Awak sendiri janji nak kasi lepas balik Malaysia, tengok-tengok terus senyap. Elok je saya dengan awak hormat apa semua, tapi awak buat macam ini.

“Saya cuma nak gaji ‘loan’ saya tu ja. Takpe lah kalau awak nak pakai dulu, nanti dah ada bagi balik tau nak pakai sangat ini, nak bayar duit kawan-kawan saya. Sekian terima kasih,” kata Faizal di laman story Instagram miliknya.

Rintihan pemain itu kemudiannya disambut bekas pemain kebangsaan Razman Roslan yang turut kecewa dengan senario yang berlaku itu.

Razman yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengakui terkejut apabila duit gaji yang dibayar pasukan lain turut disapu oleh MUFC.

“Budak ini main Melaka dan di loan ke Penang. So Penang masukkan gaji ke akaun Melaka United FC dengan harapan Melaka United FC bayar lah ke pemain ini.

“Tapi rupanya tidak. Ingatkan tak bayar gaji ja, rupanya duit orang pun sapu jugak,” kata Razman.

sumber:- HM

Terdahulu, penyertaan Melaka United FC dalam saingan Liga Malaysia musim depan dibatalkan selepas gagal meraih lesen kebangsaan susulan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan sejak Jun lalu yang tergantung tidak bertali hingga ke hari ini.