sukan

Permulaan yang sempurna

Walaupun hanya merakam 90 minit permainan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sepanjang 11 bulan bersama Sri Pahang musim ini, namun tonggak naturalisasi negara Lee Tuck tetap menampilkan aksi bertenaga dengan membantu pasukan negara melakar kemenangan 4-0 ke atas Kemboja.

Tuck, 34, yang membuat penampilan pertamanya di pentas antarabangsa bersama pasukan negara tidak menunggu lama untuk mencetak nama selaku penjaring dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Dalam perlawanan pemanas badan sebelum ke Piala AFF hujung bulan ini itu, Tuck menjaringkan gol kedua Malaysia di minit ke-38 selepas bijak melakukan gerakan dari tengah sebelum tenang menewaskan penjaga gol lawan.

“Ini adalah permulaan yang sempurna, empat gol tanpa bolos dan gol pertama untuk saya.

“Kami perlu teruskan momentum ini untuk perlawanan seterusnya. Saya hanya bermain 90 minit sahaja musim ini iaitu dalam Piala Malaysia.

“Ia satu cabaran yang sukar dari segi mental, fizikal dan kecergasan tetapi saya rasa saya buat yang baik untuk persiapkan tubuh dan minda saya,” katanya.

Tiga gol lagi disumbangkan Faisal Halim di minit 11 dan 46, sebelum Stuart Wilkin di minit 86.

Ujar pemain kelahiran England itu lagi, dia percaya skuad kendalian Kim Pan-gon mampu meningkatkan lagi persembahan sebelum ke Piala AFF di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

sumber:-HM

“Kami sudah bekerja keras dalam sesi latihan, berlatih dari segi positioning, prinsip serta nilai pasukan. Kami perlu buat benda yang sama dan perbaiki lagi pasukan, jika kami teruskan sudah tentu kami akan dapat keputusan yang baik,” katanya.