sukan

Saingan Faisal Halim bukan calang-calang

Kategori Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) memperlihatkan Arif Aiman Mohd Hanapi, Faisal Halim dan Darren Lok sekali lagi memonopoli senarai pencalonan, sama seperti musim lalu.

Arif adalah pemenang kategori ini pada musim lalu dan dijangka mendapat cabaran sengit daripada Faisal dan Darren yang dilihat beraksi dengan cemerlang bersama pasukan-pasukan masing.

Faisal, 24, yang menjadi antara tunjang kekuatan Terengganu FC (TFC), akan mendedikasikan kepada penyokong Terengganu jika terpilih sebagai penyerang terbaik, musim ini.

Namun, dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan Arif dan Darren ada kemampuan tersendiri untuk meraih gelaran penyerang terbaik.

“Ini kali kedua saya disenarai pendek dan harap ada rezeki kali ini kerana saya mahu hadiahkan kepada penyokong Terengganu.

“Dua musim berada di sana, saya sentiasa mendapat kata-kata semangat dan diberikan dorongan daripada penyokong Terengganu, jadi ini sahaja cara untuk membalas sokongan mereka.

“Di atas kertas, saya sedar bukan mudah untuk menang kerana Arif dan Darren bukan sembarangan pemain kerana bermain dengan cukup baik pada musim ini.

“Sesiapa sahaja yang menang, saya akan tetap gembira kerana berada dalam kalangan tiga terbaik sekali lagi, tetap satu pengiktirafan terbesar,” katanya.

Musim ini, Faisal yang diturunkan dalam 30 perlawanan menghasilkan 11 gol dan 14 bantuan jaringan manakala Arif, mel3dak 8 gol disusuli 16 bantuan jaringan daripada 31 perlawanan.

Manakala Darren menjaringkan 12 gol dan 2 bantuan jaringan daripada 24 perlawanan sepanjang musim ini bersama PJ City.

sumber:-HM

ABK22 bakal berlangsung pada 9 malam Khamis ini dan akan disiarkan di unifiTV 701, unifi playTV, YouTube unifi dan Facebook Live MFL dengan 16 kategori akan dipertandingkan secara keseluruhan.