sukan

Kejayaan tiada makna, padang masih teruk

Ketika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terus menjadi gelanggang bertuah buat skuad Harimau Malaya yang berjaya membaham Kemboja dengan 4-0 dalam aksi persahabatan Rabu lalu, sebaliknya kualiti venue itu terus dipertikaikan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

SNBJ nyata terus menghadirkan igauan buat pasukan lawan yang sukar untuk menundukkan pasukan negara setiap kali beraksi di kandang Harimau Malaya itu.

Paling diingati, sudah tentunya ketika anak buah Kim Pan-gon menamatkan badi 42 tahun untuk layak ke Piala Asia selepas muncul lima naib juara terbaik di pusingan kelayakan yang berlangsung di SNBJ pada Jun lalu.

Begitupun, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berpandangan tiada maknanya kejayaan itu jika keadaan permukaan padang di SNBJ masih di takuk lama dengan menggunakan rumput jenis ‘Cow Grass’.

“Lumrah bola sepak tanah air, 10 tahun masih tak serik. 10 tahun masih cakap lebih tetapi masih cow grass.

“Tetapi hanya segelintir yang bermain bunga api setiap tahun. Hanya segelintir yang mempunyai stadium yang canggih dan hanya segelintir yang berjaya dengan pelbagai kejayaan,” tulisnya di ruangan komen Instagram.

Mutu padang di SNBJ sebelum ini sering menjadi topik perbincangan termasuk kritikan pedas yang dilontarkan pelbagai pihak.

Tunku Ismail sendiri berkali-kali menegur agar kualiti padang di venue itu ditingkatkan dengan menukar rumput yang lebih baik, seiring dengan perkembangan bola sepak yang semakin moden.

Malah, Tunku Mahkota Johor itu turut bersetuju menaja penanaman rumput baharu yang ditandatangani bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada Mac lalu dengan nilai tajaan RM1.4 juta.

Difahamkan, rumput jenis Zeon Zoysia akan digunakan di SNBJ kerana rumput jenis berkenaan lebih sesuai dengan keadaan cuaca dan iklim di negara ini.

Sumber : HM

PSM dalam satu kenyataan sebelum ini, mengesahkan akan memulakan kerja-kerja penukaran rumput itu pada awal tahun depan kerana venue berkenaan sudah penuh ditempah sehingga hujung tahun ini.