sukan

KDA FC intai pemain dari Maghribi

Prestasi luar biasa ditampilkan barisan pemain Maghribi sehingga mampu melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022 mula mendapat perhatian pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menggunakan khidmat pemain negara Afrika itu pada masa akan datang.

Antara yang sudah mula ‘bersuara’ untuk mendapatkan khidmat pemain Maghribi adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mula mengintai beberapa tonggak dari pasukan benua Afrika itu untuk menguatkan Sang Kenari.

Menerusi kenyataan pemilik majoriti saham KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daus Bakar di media sosial memaklumkan bahawa beliau sebenarnya sudah mulakan langkah awal dengan menjejaki pemain Maghribi yang beraksi di Qatar.

Katanya, beliau tidak mahu terlalu gopoh untuk menggajikan pemain dari negara terbabit kerana mahu memastikan mereka sesuai dan layak beraksi bersama KDA FC.

“Sejak dua bulan yang lalu, saya sudah cuba menjejaki seorang pemain Maghribi yang pernah beraksi di Qatar.

“Ada beberapa proses yang saya patut buat untuk pastikan pemain ini benar-benar fit (kuat) dan layak bermain di Kedah.

“Saya memang rapat dengan rakan-rakan di Morocco yang mengendalikan beberapa akademi bola sepak di sana. Saya pun ada syarikat Amanie di Casablanca, Maghribi bersama dengan rakan kongsi,” katanya.

Terdahulu, Maghribi mencipta sensasi apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Dunia selepas menumpaskan Portugal 1-0.

Pada peringkat 16 pasukan, anak buah Walid Regragui itu melangkah ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dengan penuh bergaya apabila menyingkirkan juara 2010, Sepanyol 3-0 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit.

sumber:-HM

Kejayaan itu menyaksikan ‘Atlas Lions’ menjadi pasukan pertama dari Afrika mara ke peringkat empat pasukan terbaik dengan ketika ini hanya dibolosi satu gol saja.