Kekalahan Brazil begitu mengejutkan selepas pasukan pilihan itu ditunjuk jalan keluar oleh Croatia, namun percaturan mereka pada penentuan sepakan penalti menjadi punca kekalahan, kata Juergen Klinsmann.
Naib juara 2018, Croatia menewaskan Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas Rodrygo dan Marquinhos gagal menemui sasaran.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, Neymar – yang berada di senarai kelima dalam penentuan sepakan penalti – tidak memperoleh peluang untuk melakukan sepakan selepas rakan sepasukannya gagal melakukan penyudah.
“Kami amat terkejut, ia satu drama sebenar. Kami cuba berbincang perbezaan antara drama daripada permainan Brazil berbanding perlawanan Argentina menentang Belanda dan kami memutuskan beberapa idea.
“Selepas meraih penyamaan pada minit ke-117, Brazil tidak mempunyai masa mencukupi untuk mengubah permainan. Daripada kekecewaan melepaskan gol pada baki minit terakhir ke penentuan sepakan penalti, jelas tiada masa mencukupi untuk menyelesaikan dan menghampiri penentuan sepakan penalti secara positif.
“Untuk Brazil, mereka mungkin sepatutnya meletakkan penjaring terbaik mereka sebagai orang pertama, membina rentak dengan pemain terbaik yang boleh mengambil penalti dan kemudian senarai pemain mengikut ranking,” kata Klinsmann dalam satu taklimat Kumpulan Kajian Teknikal.
Ia sesuatu yang berbeza dengan seteru Amerika Selatan mereka, Argentina apabila mereka bangkit daripada kejutan gol penyamaan oleh Belanda sebelum meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 4-3.
Lionel Messi menjadi pemain pertama yang melakukan sepakan buat Argentina dan menjelmakan penyudah diinginkan sekali gus meletakkan tekanan kepada Belanda dengan Emiliano Martinez menyelamatkan dua sepakan penalti pertama Belanda dilakukan Virgil van Dijk dan Steven Berghuis.
“Argentina pula, mereka mempunyai masa tambahan untuk bermain walaupun dikejutkan dengan jaringan penyamaan oleh (Wout) Weghorst pada minit terakhir.
“Mereka mempunyai 30 minit masa permainan. Pada penghujung perlawanan, mereka mempunyai pandangan lebih jelas untuk memasuki fasa penentuan sepakan penalti,” katanya.
Dalam pada itu, Klinsmann turut memuji prestasi England di suku akhir ketika menentang juara bertahan Perancis dengan berkata; “Secara keseluruhan, ia sesuatu yang sangat positif buat England.
“Perlawanan Perancis dan England seharusnya menjadi separuh akhir ataupun final. Malangnya, salah satu daripada mereka harus pulang.
“Ia masih sebuah pasukan yang sedang membangun, pasukan ini boleh meningkat lebih baik dari tahun ke tahun.
sumber:-BH
“Mereka mempunyai ramai bakat baharu, mereka semakin baik dan lebih berpengalaman selepas tiga kejohanan positif. Akan ada sesuatu yang baik bakal hadir daripada barisan England nanti,” kata bekas penyerang Jerman Barat itu. – REUTERS