sukan

“Saya berikan segalanya”

Cristiano Ronaldo berkata “tiada gunanya memanaskan lagi keadaan ketika ini” apabila diminta memberi komen terhadap penyingkiran Portugal di Piala Dunia.

Ronaldo masih berada di Qatar ketika ramai pemain dari skuad Portugal pulang ke tanah air dan tiba di Lisbon petang semalam.

“Memenangi Piala Dunia untuk Portugal adalah impian terbesar dan cita-cita tertinggi dalam karier saya. Nasib baik saya memenangi banyak gelaran antarabangsa termasuk untuk Portugal,” tulis Ronaldo di Instagram.

Bagaimanapun dia tidak menulis mengenai persaraannya di peringkat antarabangsa tetapi dia memulakan dua perlawanan terakhir Portugal di Qatar di bangku simpanan, keputusan yang mencetuskan perdebatan di Portugal dan di seluruh dunia bola sepak.

“Mari kita berharap masa akan menjadi penasihat terbaik yang membolehkan orang membuat keputusan mereka sendiri,” katanya.

Di laman Instagram itu turut di muat naik gambar Ronaldo menunduk keluar dari padang selepas kekalahan 0-1 di suku akhir kepada Maghribi Sabtu lalu.

Pada usia 37 tahun, Ronaldo bermain Piala Dunia kelimanya. Sebaik wisel penamat dibunyikan dia menuju ke terowong dengan air mata mengalir.

Ronaldo kini tanpa kelab selepas berpisah dengan Manchester United.

Menurut akhbar Portugal, Ronaldo mengancam meninggalkan skuad selepas dia digugurkan daripada kesebelasan utama tetapi itu dinafikan jurulatih Fernando Santos yang akan bertemu dengan Persatuan Bola Sepak Portugal untuk membincangkan masa depannya sendiri.

“Saya hanya mahu semua orang tahu bahawa banyak yang diperkatakan, banyak yang ditulis, banyak spekulasi tetapi dedikasi saya kepada Portugal tidak berubah,” tambah Ronaldo.

“Saya sentiasa menjadi seorang pemain yang berjuang untuk memburu gol dan tidak akan membelakangkan rakan sepasukan dan negara.

“Dalam lima Piala Dunia yang saya bermain, saya sentiasa bermain bersama pemain hebat dan disokong berjuta-juta rakyat Portugal. Saya berikan segalanya.

“Saya meninggalkan segala-galanya di padang. Saya tidak pernah membelakangkan perjuangan dan berputus asa dengan impian ini.

sumber:-HM

“Malangnya semalam mimpi itu berakhir. Mimpi itu indah semasa ia berlangsung.”