sukan

Komen pemerhati bolak sepak kemenangan Harimau Malaya

KEJAYAAN Harimau Malaya membenam cabaran Kemboja dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat disifatkan satu perkembangan positif selepas kehilangan separuh pemain tonggak.

Malah menurut pemerhati bola sepak, Mohd Sadek Mustafa, kemenangan yang boleh dibanggakan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa negara masih memiliki ramai pemain yang boleh diketengahkan mengambil posisi tonggak senior.

“Tidak keterlaluan boleh saya katakan Pan-gon sudah menemui barisan Harimau Malaya 2.0 selepas kehilangan para pemain tonggak yang menarik diri atas alasan tertentu sebelum ini.

Ya, sememangnya terdapat kebimbangan skuad yang kebanyakannya dibarisi muka baharu tidak dapat meraih keputusan positif seperti dilakukan beberapa pemain senior sebelum ini.

“Namun apabila kita lihat Faisal Halim mengemudi kebanyakan para pemain baharu ternyata ia tidak mengecewakan seterusnya memberi harapan kepada para penyokong Harimau Malaya untuk berdaya saing pada kejuaraan Piala AFF,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Harimau Malaya menyingkap persiapan Piala AFF dengan meraih keputusan positif setelah mengalahkan Kemboja 4-0 dengan gol dijaringkan Faisal Halim pada minit ke-11′, 46′, Lee Tuck (38′) dan Stuart Wilkin (86′).

Untuk rekod, perlawanan ini juga merupakan penampilan pertama bersama skuad kebangsaan – Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Stuart Wilkin, Lee Tuck, Shamie Iszuan Amin, David Rowley, Sergio Aguero dan Aliff Izwan Yuslan.

Pan-gon sebelum ini ‘kehilangan’ 12 pemain bagi menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 dan Piala AFF 2022 susulan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kec3deraan.

Sebelas daripada 12 pemain terbabit daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa, manakala seorang lagi pemain Sri Pahang FC, Nor Azam Azih.

Pada masa sama, Mohd Sadek memuji komitmen diberikan para pemain yang dipanggil mengikuti latihan pusat tersebut apabila meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Piala AFF juga sebenarnya merupakan satu kejohanan kompetitif yang antara satu segmen persediaan pasukan untuk pusingan akhir Piala Asia.

“Kita boleh ambil contoh terbaik penganjuran Piala Dunia Qatar 2022 ketika ini, para pemain Australia sebaik disingkirkan Perancis, tanpa menunggu lama kembali beraksi bersama kelab masing-masing bagi meningkatkan prestasi.

“Begitu juga dengan Maghribi, apabila para pemain yang berselerak di serata dunia dipanggil menggalas cabaran di Qatar 2022, terus sahaja menyahut panggilan negara,” katanya.

Sementara itu, biarpun melakar keputusan positif, Mohd Sadek juga turut mengingatkan para pemain negara agar tidak meletakkan diri dalam zon selesa dengan kemenangan ke atas Kemboja tersebut.

Sebaliknya tegasnya, para pemain perlu terus meningkatkan prestasi menerusi sistem latihan Pan-gon kerana percaya Harimau Malaya akan berdepan cabaran sengit pada kempen Piala AFF.

“Para pemain terutamanya yang telah melakukan debut pertama bersama pasukan negara perlu berusaha lebih gigih lagi meningkat prestasi bagi mengekalkan momentum positif pasukan.

“Kejayaan di kejuaraan Piala AFF secara tidak langsung menyuntik motivasi para pemain untuk tampil lebih yakin di pusingan akhir Piala Asia 2023,” katanya.

sumber:-SH

Anak buah Pan-gon akan berdepan Maldives dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.