sukan

Harimau Malaya belasah Maldives

Skuad kebangsaan menuju ke Piala AFF 2022 dengan ‘mood’ positif selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Maldives dalam aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ia kemenangan kedua skuad negera dalam tempoh enam hari selepas membelasah Kemboja 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Berdepan Maldives yang berada di ranking 154 dunia, Harimau Malaya bermula garang dengan melakukan tekanan tinggi dan merencana beberapa gerakan ke kubu lawan, namun tidak berjaya menjelmakan jaringan.

Anak buah Kim Pan Gon berada di depan selapas 24 minit permainan hasil penyudah Darren Lok susulan kesilapan pertahanan Maldives, Hussain Sifaau Yoosuf yang gagal mengeluarkan bola di dalam kotak penalti.

Bahagian pertahanan yang diketuai Sharul Nazeem Zulpakar dilihat beraksi dengan baik apabila berjaya menyekat serangan yang cuba dilakukan Maldives selain menyaksikan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak perlu bekerja keras di babak pertama.

Harimau Malaya mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-46, namun Darren gagal melakukan sentuhan penyudah terbaik selepas menerima hantaran Faisal Halim di dalam kotak penalti.

Darren bagaimanapun menebus kekecewaan itu apabila umpanannya pada minit ke-64 berjaya disudahkan Faisal untuk mengukuhkan kedudukan buat Harimau Malaya.

Pemain naturalisasi, Lee Tuck yang membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya berjaya membuka akaun gol ketika berdepan Kemboja sekali lagi meledak apabila dia menyempurnakan hantaran Sergio Aguero pada minit ke-87 untuk mengesahkan kemenangan 3-0 skuad negara ke atas Maldives.

sumber:-BH

Skuad Pan Gon seterusnya akan mengharungi aksi sebenar berdepan Myanmar pada perlawanan sulung Kumpulan B saingan Piala AFF di Yangon, 21 Disember ini.