sukan

Ibarat peluang terakhir

Aksi persahabatan Tier 1 berdepan pasukan di ranking ke-154 dunia, Maldives sebenarnya boleh diibaratkan seperti ‘peperiksaan akhir’ buat barisan pemain skuad kebangsaan dan juga Kim Pan Gon.

Mana tidaknya, hanya ini aksi antarabangsa yang tinggal sebelum mereka menghadapi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 yang akan bermula minggu depan – jika ada pun aksi persahabatan selepas ini, mungkin hanya aksi tertutup berdepan pasukan tempatan.

Perlawanan ini akan menjadi penentu sama ada pemain khususnya yang baru masuk benar-benar menguasai pemahaman terhadap ‘subjek’ yang diberikan oleh Pan Gon sepanjang tempoh bimbingan yang sudahpun diberikan selama ini.

Berdasarkan aksi berdepan Kemboja yang berakhir dengan kemenangan 4-0, ia seakan menunjukkan barisan mereka ‘lulus’ dan bersedia untuk perlawanan kedua berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam ini.

Namun hanya Pan Gon tahu markah barisan pemain ini sama ada lulus dengan cemerlang ataupun lulus `cukup makan’. Ini medan terakhir untuk Pan Gon menilai sama ada pemain benar-benar dapat menterjemahkan apa yang dimahukan.

Cuma berdepan satu lagi pasukan di ranking lebih rendah, mungkin ini memberi kesukaran kerana anak buahnya tidak diuji secukupnya sebelum bersaing di Piala AFF 2022 yang menampilkan beberapa pasukan lebih baik berbanding kita.

Bukan hanya Pan Gon kerana debaran turut dirasai barisan pemain memandangkan ini juga peluang terakhir untuk mereka menawan hati Pan Gon dan barisan kejurulatihan supaya dapat membarisi senarai akhir ke Piala AFF 2022.

Sudah cukupkah apa yang ditunjukkan mereka pada sesi latihan dan aksi persahabatan bagi membolehkan nama mereka ‘lekat’?

Mungkin dua aksi persahabatan ini bukan penentu segalanya untuk dipilih ke senarai akhir kerana ada lagi beberapa sesi latihan tetapi aksi antarabangsa adalah tempat paling sesuai untuk melihat sama ada pemain dapat menyesuaikan diri dengan intensiti permainan antarabangsa ataupun tidak.

Jadi secara tidak langsung, dua aksi persahabatan berdepan Kemboja dan Maldives menjadi pemberat paling besar dalam penentuan ‘markah lulus’ pemain untuk disenaraikan ataupun tidak.

Sumber : BH

Buat pemain, selamat maju jaya dan tunjukkan aksi yang terbaik seandainya mahu terus membantu skuad kebangsaan di Piala AFF 2022 ataupun sekadar ‘menahan geram’ melihat rakan lain bermain dari kaca televisyen.