sukan

Janji Pan Gon

Skuad akhir terdiri daripada 23 pemain yang akan di bawa ke Piala AFF bermula Rabu depan diberi jaminan akan diserapkan ke pasukan Piala Asia tahun depan jika berjaya menyerlahkan persembahan terbaik di saingan serantau itu nanti.

Jaminan itu diberikan pengendali negara dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang mengakui tidak teragak-agak akan menyenaraikan pemain baharu daripada skuad Piala AFF ini untuk ke Piala Asia nanti.

Katanya, barisan pemain yang membawa skuad Harimau Selatan menamatkan badi 42 tahun ke Piala Asia sudah tentunya dianggap sebagai pasukan utama atau teras yang akan dipanggil kembali sebelum ke saingan Asia itu.

Bagaimanapun beliau menegaskan, skuad Piala AFF sebenarnya turut berpeluang malah Pan-gon sendiri cukup teruja untuk melihat muka baharu yang akan dapat dikekalkan sekali gus menyertai skuad utama nanti yang dijadual melakukan persiapan ke Piala Asia mulai tahun depan.

“Untuk Piala Asia, jika mereka (pemain baharu dalam skuad Piala AFF) tunjukkan aksi memukau dan dapat meyakinkan kami, ia satu kelebihan.

“Ia kerana jika kami yakin dengan pemain terbabit, sudah tentu kami akan mengekalkan dan menyenaraikan semula untuk sertai pasukan kebangsaan. Itu kebaikan untuk pemain,” kata bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) itu.

Persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala AFF sedikit terencat apabila hampir separuh menolak panggilan kem latihan di atas beberapa alasan seperti kepenatan, masalah keluarga dan kecederaan.

Malah sepanjang kempen Piala AFF berlangsung, ia diadakan di luar jendela aksi antarabangsa yang menyaksikan pemain atau kelab boleh menolak panggilan itu, sekali gus memaksa Pan-gon memanggil ramai muka baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak utama pasukan.

Begitupun, bekas jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu mengakui berpuas hati dengan prestasi pemain baharu yang dilihat berjaya mengikut gaya latihan dan corak permainan berintensiti tinggi ditekankan olehnya.

“Sebagai contoh, kita sudah bina skuad utama dan kita tidak boleh ubah terlalu banyak dalam satu satu perlawanan.

“Ia mesti tetap ada tonggak utama dalam pasukan dan ia tidak boleh diubah, tetapi kita boleh tambah pemain baharu di beberapa bahagian dalam perlawanan ditempuhi atau pertandingan.

“Tapi buat masa ini bagi saya ia situasi yang agak mencabar, di mana kebanyakannya adalah muka baharu. Lebih baik kita fokus terlebih dulu untuk peringkat ini (Piala AFF), di mana kita tidak boleh memandang terlalu ke depan kerana pertandingan semakin hampir.

“Masa semakin suntuk dan ramai pemain baharu, jadi lebih baik kita fokus untuk Piala AFF untuk memperagakan persembahan terbaik buat penyokong,” katanya.

sumber:-HM

Di Piala AFF nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura dengan aksi pertama berkunjung ke Yangon pada Rabu ini.