sukan

Kelebihan kepada Arif Aiman

Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bakal menemui kemuncak selepas majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) akan berlangsung, malam esok.

Sebanyak 16 kategori disenaraikan termasuk Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Perdana, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.

Paling mendebarkan sudah pasti mengenai siapa yang akan merebut anugerah MVP 2022 yang pada musim lalu dimenangi bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Ketika itu, Arif turut melakar sejarah muncul pemain termuda memenangi anugerah MVP pada usia 19 tahun, mengatasi rekod rakan sepasukan, Safawi Rasid yang melakukannya pada 2018 ketika berusia 21 tahun.

Selain itu, kejayaan Arif Aiman menggondol dua anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik pada musim 2021 turut meletakkan dia sebagai pemain pilihan pada ABK22.

Dia yang sekali lagi turut tersenarai dalam kategori Penyerang Terbaik pada ABK22 dijangka berdepan saingan sengit daripada kapten Harimau Malaya, Faisal Halim selain seorang lagi pemain kebangsaan, Darren Lok.

Kecemerlangan Faisal bersama Terengganu FC juga tidak boleh dinafikan dengan dia turut berpotensi untuk merebut anugerah MVP.

Namun, peluang Arif Aiman untuk mempertahankan gelaran MVP lebih cerah apabila dia tersenarai bagi anugerah Pemain Muda Terbaik bersama dua lagi bintang sedang meningkat naik, Azam Azmi Murad (Terengganu FC) dan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).

Bagi kategori Pemain Tengah Terbaik, Mukhairi Ajmal akan berdepan dua pemain senior, Baddrol Bakhtiar dan Afiq Fazail manakala Ahmad Khuzaimi Piee, La’Vere Corbin-Ong dan Shahrul Saad berada dalam calon Pertahanan Terbaik.

Kategori Penjaga Gol Terbaik juga tidak kurang hebatnya apabila menyaksikan pertembungan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Negeri Sembilan FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).

sumber:-BH

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak akan dicabar dua anak tempatan, Nafuzi Zain (Terengganu) dan Datuk Ong Kim Swee (Sabah) bagi merebut gelaran Jurulatih Terbaik.