sukan

Selamat datang ke KDA FC

Pemain pertahanan kanan, Wan Amirul Afiq Abdul Rahman kini menjadi milik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi membentuk pertahanan kental menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan berusia 30 tahun itu menjadi pemain tempatan ketiga diumumkan Sang Kenari selepas kemasukan dua penjaga gol iaitu Kalamullah Al-Hafiz dan Fikri Che Soh.

Menurut media rasmi KDA FC, keupayaan dan pengalaman Wan Amirul Afiq yang beraksi kental di bahagian pertahanan mampu menambah kekebalan benteng Sang Kenari bersama Akmal Zahir, Kamil Akmal, Heshamudin, Loqman, Ariff Farhan dan Rodney Celvin pada musim depan.

“Selamat datang Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman ke bumi Jelapang Padi. Pemain pertahanan baharu pasukan Sang Kenari ini berusia 30 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan itu pada musim lalu mewakili Melaka United FC.

“Kekentalan dalam mengawal kubu pertahanan, fizikal lasak pasti menjadi senjata utama dalam setiap aksi beliau apabila bersama pasukan Sang Kenari,” katanya.

Wan Amirul Afiq menandatangani kontrak selama dua tahun bersama KDA FC dan bakal mengukuhkan benteng skuad kendalian Nafuzi Zain.

Wan Amirul Afiq pernah menyarung jersi Felda United pada musim 2017 hingga 2018 melalui 49 penampilan, sebelum menyertai Melaka United selama empat musim di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan dan Risto Vidakovic.

Sementara itu, KDA FC dan Perak FC bakal meneruskan tradisi persefahaman di utara apabila merancang mengadakan perlawanan persahabatan Piala Unity sebelum Liga M bermula.

Perlawanan persahabatan itu adalah perlawanan tahunan kedua-dua pasukan sebagai tanda persahabatan terjalin antara Kedah dan Perak.

sumber:-HM

Menerusi maklumat rasmi KDA FC, satu mesyuarat diadakan pada hari ini membabitkan pengurusan kedua-dua pasukan.