sukan

Kritikan ‘panas’ kepada Ronaldo

Maghribi yang menewaskan Portugal 1-0 pada aksi suku akhir Piala Dunia, mengakhiri kempen mereka selepas tewas 0-2 kepada Perancis pada aksi separuh akhir, hari ini.

Dietmar Hamann pantas melancarkan s3rangan pedas kepada Cristiano Ronaldo apabila melabelkan pemain berstatus bintang itu tidak begitu ‘murah hati menerima kekalahan’ berbanding pasukan kebangsaan Maghribi.

Menurut Hamann, kekalahan Maghribi lebih bermaruah berbanding dialami Ronaldo apabila barisan pemain mereka kekal di atas padang mengucapkan tahniah kepada Les Bleus atas kemenangan lawan mereka itu.

“Anda bercakap mengenai pemain berstatus bintang dan berpendapatan tinggi. Jika anda merasakan begitu, salah seorang pemain yang meninggalkan padang minggu lalu, iaitu Ronaldo, tidak mengucapkan tahniah kepada lawan selepas tamat perlawanan.

“Mereka (Maghribi) memenangi perlawanan itu dan melakukan sesuatu yang bersejarah tetapi dia (Ronaldo) tidak mempunyai maruah untuk mengucapkan tahniah kepada mereka atas apa yang sudah mereka capai.

“Sekarang anda lihat sikap mereka (pemain Maghribi) yang bersalaman dengan pemain Perancis. Maruah dan budi pekerti yang ditunjukkan mereka di sebalik kekalahan itu sangat hebat,” katanya yang memuji skuad bimbingan Walid Regragui.

Selepas Maghribi menyingkirkan Portugal, bekas bintang Manchester United itu terus berjalan menuju ke terowong dan dilihat menitiskan air mata kerana kecewa tersingkir daripada kejohanan itu.

Walaupun Piala Dunia kali ini mungkin penampilan terakhir untuknya, namun pemain berusia 37 tahun dan pemenang Ballon d’Or lima kali itu mahu terus mewakili negaranya serta berminat memimpin pasukannya di Euro 2024.

sumber:-HM

“Memenangi Piala Dunia untuk Portugal adalah impian terbesar dalam karier saya,” tulis Ronaldo di akaun media sosial miliknya.