sukan

‘Maafkan kami rakyat Maghribi’

Jurulatih Maghribi, Walid Regragui memuji usaha pasukannya selepas kisah dongeng mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia berakhir dengan kekalahan 0-2 kepada Perancis, hari ini.

“Kami sudah memberikan segala-galanya, itu yang paling penting. Pemain berjuang sehingga minit akhir.

“Kami mahu memenangi perlawanan ini tetapi kami bertemu lawan kuat yang tahu apa mereka lakukan dan menunggu anda melakukan kesilapan di mana kami lakukannya di awal perlawanan,” katanya merujuk kepada gol pembukaan Theo Hernandez seawal minit ke-5.

Regragui sebelum ini menyaksikan anak buahnya melakar kejutan demi kejutan dengan menewaskan Sepanyol dan Portugal pada pusingan kedua serta suku akhir.

Beliau terpaksa berhadapan dengan beberapa pemain yang bergelut untuk cergas sepenuhnya. Bek tengah, Nayef Aguerd diketepikan selepas memanaskan badan dan dingantikan dengan Achraf Dari.

Seorang lagi pemain pertahanan dan kapten, Romain Saiss membarisi kesebelasan utama tetapi terpaksa dikeluarkan selepas hanya 21 minit perlawanan.

“Kami kehilangan ramai pemain yang sudah melakukan yang terbaik. (Noussair) Mazraoui tidak cergas tetapi dia tetap beraksi. Begitu juga Saiss.

“Tiada apa-apa lagi dapat saya katakan apabila pemain memberikan yang paling maksimum,” kata Regragui.

Barisan serangan Maghribi bekerja keras sepanjang perlawanan untuk mencari gol penyamaan namun mereka kekurangan sentuhan penyudah.

sumber:- HM

“Kami berpeluang menjaringkan gol, tetapi malangnya ia tidak berhasil. Semoga rakyat Maghribi memaafkan kami. Kami mahu ke final tetapi…lain kali insya-Allah,” katanya