sukan

‘saya berpuas hati, setiap orang saya mahu kekalkan’

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelaskan bahawa dia memerlukan masa untuk membuat penelitian rapi bagi memilih barisan pemain terbaik yang akan ke Piala AFF 2022.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, dia akan mengumumkan senarai pemain itu dalam masa terdekat dengan mengambil kira semua aspek terutama pemain yang paling sesuai dengan strategi pasukan.

Katanya, secara individu dia berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan semua pemain yang berada dalam skuad ketika ini selepas mengharungi dua aksi persahabatan berdepan Kemboja dan Maldives

“Mungkin dalam masa terdekat (umum senarai pemain), kami akan teliti semua dan selepas itu kami akan putuskan mengenai strategi, taktikal dan teknikal.

“Bagi saya prestasi individu (pemain) saya berpuas hati, setiap orang saya mahu kekalkan. Tapi kami perlu buat keputusan dan kami cuba buat yang terbaik,” katanya.

Pan Gon berkata demikian selepas aksi persahabatan berdepan Maldives di Stadium Boalsepak Kuala Lumpur, semalam yang menyaksikan Harimau Malaya merekodkan kemenangan 3-0.

Ia kemenangan kedua skuad negera dalam tempoh enam hari selepas membelasah Kemboja 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Dua aksi itu adalah sebagai pemanas badna bagi Harimau Malaya sebelum mengharungi aksi pertama Kumpulan B saingan Piala AFF berdepan Myanmar di Yangon, 21 Disember ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Maldives, Francesco Moriero mengakui Harimau Malaya mempunyai skuad yang kuat, namun tetap memuji barisan pemainnya walaupun keputusan tidak memihak mereka.

sumber:-BH

“Malaysia lebih banyak aksi kompetitif berbanding kami dan mereka juga memiliki skuad yang kuat. Bagi saya apa yang penting adalah persembahan yang ditunjukkan oleh pemain saya,” katanya.