sukan

Dua kemenangan bergaya, masih belum cukup padu

HARIMAU Malaya disifatkan masih belum cukup padu biarpun melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Maldives dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Rabu.

Bagaimanapun pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tetap positif dengan persembahan setiap para pemainnya dalam menyaingi pasukan lawan dalam perlawanan tersebut.

“Saya gembira dengan kemenangan kedua diraih pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Maldives kali ini. Malah perlawanan malam ini juga berintensiti tinggi kerana itu yang saya mahukan dan berpuas hati.

“Biarpun persembahan babak pertama agak bergelut, namun situasi itu di atasi sepanjang separuh masa kedua. Mungkin bola sepak kita menuntut secara fizikal dan kadangkala pemain perlu lebih tepat dan tidak sepatutnya hilang penguasaan bola lebih awal.

“Intensiti pasukan agak berkurangan sedikit dalam perlawanan ini berbanding ketika mengatasi Kemboja sebelum ini,” katanya selepas perlawanan pada Rabu.

Anak buah Pan-gon sebelum itu mengekalkan momentum kemenangan menjelang saingan Piala AFF 2022, apabila membelasah Maldives 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Bolasepak pada Rabu.

Pada perlawanan itu, Pan-gon meneruskan eksperimen terhadap pasukan apabila melakukan rombakan terhadap kesebelasan utama dengan mengekalkan empat pemain ketika membelasah Kemboja 4-0 pada aksi persahabatan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Hasilnya Harimau Malaya berjaya merobek gawang Red Snappers kendalian Francesco Moriero menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-24′, diikuti Faisal Halim (64′) sebelum gol minit ke-88′, pemain naturalisasi negara Lee Tuck, yang dibawa masuk menggantikan Muhammad Safawi, melengkapkan kemenangan bergaya pasukan negara.

Tambah Pan-gon, para pemain juga telah membuktikan segala-galanya hasil latihan dua minggu sebelum ini dalam dua perlawanan persahabatan tersebut.

“Para pemain saya sudah mencuba sehabis baik dan berjaya menjaringkan gol. Apa yang mereka lakukan sejak dua minggu ini dengan berlatih bersungguh-sungguh dan komitmen tinggi diterjemahkan semuanya dengan baik.

“Mereka adalah pemain profesional dan saya tetap menghargai pengorbanan yang telah mereka lakukan dalam perlawanan ini.

“Jika kita kalah, saya gembira kerana pemain telah menunjukkan semangat, komitmen dan mengikut arahan 100 peratus, jadi tiada aduan. Cuma beberapa aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperbaiki, kita akan membetulkannya,” katanya.

Mengenai bayangan senarai 23 pemain daripada senarai 28 sedia ada untuk menghadapi Piala AFF 2022, Pan-gon berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya tidak menilai pemain berdasarkan individu tetapi lebih pada kesesuaian taktikal pasukan dalam perlawanan dan sebenarnya para pemain tidak boleh dinilai hanya bersandarkan satu perlawanan sahaja.

“Biarpun begitu saya berpuas hati dengan komitmen semua para pemain secara individu dan saya tidak menilai hanya berdasarkan perlawanan malam ini sahaja,” katanya.

Harimau Malaya akan menyingkap cabaran kejuaraan Kumpulan B Piala AFF berdepan Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti aksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

Mengenai keyakinan terhadap pasukan untuk menentang Vietnam dan Singapura, Pan-gon berkata, para pemainnya berada dalam semangat berpasukan yang bagus, komited dan kemahuan tinggi meraih kejayaan.

“Setakat ini kami bermain baik, jadi kami mahu berikan anda persembahan yang baik dalam setiap perlawanan. Semua orang dan peminat perlu tahu bahawa kami berjuang untuk anda, kami sangat serius. Setiap hari kami bekerja keras jadi kami mahu anda berada di pihak kami.

sumber : SH

“Jika kami tidak berjaya mendapat keputusan yang baik, kita perlu menangis bersama, kalau dapat hasil yang baik kita gembira bersama. Kami cuba untuk membuatkan para penyokong gembira, sebab itu kami banyak berlari, banyak berlawan untuk membanggakan anda,” katanya.