sukan

JDT pun ambil import kitar semula

Berdasarkan pengenalan sembilan pemain import yang boleh ditandatangani pasukan Liga Super musim 2023, situasi ini pasti sedikit ‘memeningkan’ kepala pasukan bagi memaksimumkan penggunaan import yang dibenarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Tatkala saingan musim 2023 akan bermula kira-kira sebulan lagi, hanya ada tempoh masa yang singkat untuk pasukan mendapatkan pemain import bagi menguji kemampuan mereka sama ada berbaloi untuk digunakan ataupun pasukan akan ‘ditipu.’

Justeru, pasukan mungkin terpaksa mengambil jalan pintas iaitu dengan menggunakan pemain import ‘kitar semula’ ataupun memanggil kembali pemain yang pernah beraksi bersama mereka untuk memperkasa mereka bagi mengharungi musim baharu nanti.

Setakat ini, beberapa pasukan dilihat menggunakan pendekatan sama dan dengan lebih banyak kuota import yang boleh diikat, berkemungkinan besar pasukan akan terus mengambil langkah sama sebelum bermulanya liga, hujung bulan depan.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut yang terus menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan bagi musim 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan semula khidmat penggempur berbisa mereka, Diogo Santo yang sebelum ini bersama BG Pathum United.

Selain itu, mereka turut mengikat bekas pemain FELCRA FC dan Selangor FC yang beraksi bersama Penang FC pada musim lalu, Endrick Dos Santos bagi mengukuhkan jentera tengah mereka.

Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dibimbing pengendali baharu, Nafuzi Zain mendapatkan bekas pemain Sri Pahang FC (SPFC), Manuel Hidalgo selain ‘jeneral’ dari bekas pasukannya, Manuel Ott.

Naib juara Piala AFC 2022, KL City FC tidak ‘berjalan jauh’ apabila mengikat bekas peny3rang Selangor FC (SFC), Herlison Caion selain turut mendapatkan Tchetche Kipre dan bekas pemain Melaka United (MU), Patrick Reichelt.

Dua lagi pemain yang pernah beraksi bersama MU, Adriano Narcizo dan Giovanne Gomes menjadi sandaran Penang FC (PFC) selain turut merekrut bekas pemain tengah UiTM FC, Ousmane Fane.

Bekas peny3rang PDRM FC, Bruno Suzuki pula kembali ke pangkuan pasukan itu bagi musim 2023 di mana pemain kelahiran Brazil itu pernah menyarung jersi beberapa pasukan tempatan seperti Negeri Sembilan dan Terengganu.

Satu lagi pasukan yang beraksi di Piala AFC musim depan iaitu Sabah FC meletakkan kepercayaan kepada Jacob Njoku yang sebelum ini beraksi bersama Kelantan United dalam Liga Perdana.

sumber : BH

Bekas peny3rang PFC, Lucas Silva dan penyerang berpengalaman dalam kancah Liga M, Kpah Sherman menjadi pilihan Sri Pahang FC (SPFC) bagi musim 2023 sementara Terengganu FC (TFC) mengikat bekas pemain MU, Sony Norde.