Syok Woo Baca

Tahun 2023 akan jadi musim yang sukar

SELANGOR FC tidak mahu mendabik dada dan dianggap sebagai pasukan pilihan walaupun telah merekrut beberapa pemain berkualiti untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Kapten Selangor, Brendan Gan berkata, tahun 2023 akan menjadi musim yang sukar dengan kesemua pasukan menyiapkan pasukan terbaik mereka untuk cuba menampilkan cabaran dalam saingan liga.

Saya tidak pernah mendengar kami (Selangor) menjadi pasukan pilihan. Setiap pasukan seperti yang anda lihat sedang menambah baik pasukan mereka dan saya lihat akan menjadi musim yang sukar.

“Kami pula sedang berusaha dalam persiapan pra musim, membina kombinasi dan taktikal yang sesuai selain memastikan capai tahap kecergasan yang tinggi untuk musim depan,” katanya.

Pada musim 2022, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menyudahkan saingan Liga Super di kedudukan kelima dengan lapan kemenangan, enam seri dan lapan kekalahan.

Dalam saingan Piala FA pula, skuad Gergasi Merah berjaya melangkah ke saingan separuh akhir dan tewas kepada Terengganu FC, manakala untuk saingan Piala Malaysia pula mereka cemerlang menempah tiket perlawanan akhir namun terpaksa akur kepada kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kekalahan 1-2.

Untuk saingan musim depan, Selangor FC telah merekrut beberapa pemain kebangsaan iaitu Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan Ruventhiran selain membawa masuk dua tonggak import iaitu pemain tengah pasukan kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh serta pemain Ghana, Rauf Salifu.

Dalam pada itu, Brendan mengakui kehadiran Faisal, Khuzaimi dan Ruventhiran memberikan nilai tambah yang baik buat pasukan.

“Mereka mempunyai kualiti bersama pasukan kebangsaan dan kelab lama mereka.Kami bertuah ada mereka dalam pasukan tetapi kejayaan pasukan bukan bergantung kepada seorang pemain.

“Kami memerlukan 24, 25 pemain untuk membentuk satu pasukan. Kami akan gunakan kualiti pemain yang ada dan fokus menang perlawanan sebagai satu pasukan.

sumber:- SH

“Kami juga perlu tambah baik pasukan walaupun berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu. Tetapi, hakikat anda boleh kata musim itu kami tidak terlalu konsisten dan perlu membaikinya,” katanya.