sukan

Akan tiba masanya nanti

Masanya akan tiba buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan kemarau muncul juara dalam saingan Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada 2017.

Menurut jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen biarpun gagal muncul juara semalam beliau tetap berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Aaron-Wooi Yik di New Delhi apabila kembali bangkit selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia, minggu lalu.

“Saya akui perlawanan hari ini (semalam) memang ada rugi sedikit kerana mereka sudah mendahului set ketiga tetapi lawan kejar semula,malah set kedua pun hampir menang,” kata Bin Shen.

Pasangan nombor tiga dunia itu terlepas peluang terbaik bagi meraih gelaran pertama mereka apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-14, 19-21, 18-21 pada aksi final Terbuka India di Dewan Tertutup KD Jadhav di New Delhi, semalam.

Ujar Bin Shen, apa yang perlu dilakukan anak didiknya itu selepas ini adalah menguatkan lagi mental mereka bagi mengharungi musim yang padat tahun ini terutama apabila pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada Mei depan.

“Saya fikir, ini adalah sebahagian daripada proses dalam perlawanan dan mereka perlu belajar bagaimana untuk mengawal situasi seperti ini. Tahun ini banyak kejohanan dan mereka perlu menguatkan mental kerana akan melalui banyak situasi seperti ini.

“Saya percaya harinya akan tiba untuk mereka (menamatkan penantian muncul juara saingan Jelajah Dunia BWF). Apa yang paling penting adalah mereka percaya dengan kemampuan diri sendiri dan berani untuk berdepan semua cabaran yang bakal dihadapi,” katanya.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik belum pernah muncul juara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila tiga kali terkandas di pentas final sebelum ini untuk sekadar muncul naib juara pada saingan Terbuka SaarLorLux di Jerman 2018, Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Bagaimanapun, mereka berjaya mencipta sejarah menjadi wakil pertama Malaysia merangkul gelaran dunia di Tokyo, Jepun, tahun lalu selain memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020. Sementara itu, Bin Shen mengesahkan kedua-dua pemain berkenaan akan tetap menyertai saingan Masters Indonesia di Jakarta yang bermula esok.

sumber:-HM

Tampil sebagai pilihan keempat, Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen di Jakarta dalam pusingan pertama dengan menentang pasangan dari peringkat kelayakan.