sukan

Janji lunas semua hutang menjelang Mac depan

Pend3ritaan pemain Sarawak United membabitkan tunggakan gaji bakal berakhir apabila pengurusan pasukan terbabit berjanji mahu melunaskan semua hutang menjelang Mac depan.

Situasi terbabit disahkan Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais yang menjelaskan bahawa pengurusan pasukan tidak pernah lepas tangan dan sentiasa berusaha menyelesaikan tunggakan gaji anak buahnya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan tunggakan gaji adalah lebih RM1 juta dengan peruntukan kewangan bagi membayar hutang itu sudah pun diluluskan untuk diserahkan kepada pemain.

“Kami sudah pun memaklumkan perkara itu (pembayaran tunggakan gaji) kepada pemain dan akan mula membayar bermula Februari ini secara berperingkat.

“Dana yang diperoleh Sarawak United baru-baru ini mencukupi untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji dan berharap pemain bersabar dalam tempoh sedikit masa lagi.

“Pada masa sama, kami faham kesulitan yang dialami pemain apabila gaji mereka tertunggak namun pengurusan Sarawak United tidak pernah lepas tangan atau membiarkan mereka begitu saja,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tampil mendedahkan jumlah hutang tertunggak membabitkan Sarawak United.

PFAM dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah keseluruhan tunggakan gaji pemain Sarawak United adalah lebih RM400,000.

Katanya, PFAM sudah menghantar laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

Selain itu, PFAM juga sudah menghantar notis terbaru kepada Sarawak United pada 17 Januari lalu supaya tunggakan gaji yang kini mencecah empat bulan segera dilunaskan.

Sementara itu, Posa berharap isu membabitkan tunggakan gaji Sarawak United selesai dan tidak lagi diperkatakan apabila pihaknya sudah membayar kepada pemain kelak.

sumber : HM

“Kami komited dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji dan berharap pembayaran hutang itu menyelesaikan segala isu melanda Sarawak United,” katanya.