sukan

JDT terus kuasai pemain termahal

Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas sekali sukar digugat membabitkan segala aspek apabila menyaksikan lapan daripada 12 pemain termahal di Liga Malaysia (Liga M) didominasi oleh pasukan itu.

Jelas sekali, kemasukan beberapa pemain import yang bakal mewarnai Liga M musim 2023 turut mengubah nilai pasaran mereka dengan menyaksikan terdapat peningkatan berbanding 2022.

Menerusi dapatan daripada laman sesawang terkenal, transfermarkt.com, takhta pemain termahal Liga M masih kekal menjadi milik pertahanannya, Jordi Amat pada nilai RM4.67 juta sekali gus meneruskan penguasaan status terbabit seperti yang pernah dipegang beberapa pemain Harimau Selatan sebelum ini.

Malah, lima slot teratas diisi skuad bimbingan Esteban Solari itu dengan Fernando Forestieri menjadi pemain kedua termahal pada nilai RM3.97 juta.

Dua pemain import baharu mereka iaitu Oscar Arribas dan Juan Muniz masing masing bernilai RM2.33 juta dan penggempur berbisa mereka yang meledak 29 gol dalam saingan Liga Super 2022, Bergson da Silva berada di tangga kelima dengan nilai sama.

Penyerang baharu Kedah Darul Aman (KDA FC), Willian Lira menjadi ‘muka baharu’ dalam senarai 10 pemain termahal Liga M apabila bernilai RM2.1 juta selepas nilai pasaran pemain itu meningkat sebanyak RM466,000.

Selain itu, tiga pemain berkongsi ‘tag harga’ yang sama pada nilai RM1.86 juta iaitu penyerang baharu Kuching City, Sirozhiddin Kuziev ; seorang lagi penyerang baharu KDA FC, Ebenezer Assifuah serta bintang muda Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.

Pada nilai RM1.86 juta itu, Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) itu muncul sebagai pemain Malaysia termahal.

sumber:-HM

Melengkapkan senarai adalah dua lagi pemain JDT, La Vere Corbin Ong dan Matt Davies (RM1.74 juta) dan nilai itu turut dikongsi bersama pemain import baharu Selangor FC, Noor Al Rawabdeh.