sukan

Tiada banyak yang beza

Bintang baharu Ratchaburi FC, Safawi Rasid mengakui saingan Liga Thailand tiada banyak beza dengan Liga Malaysia (Liga-M) sekali gus tidak berhadapan masalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukannya itu.

Safawi berkata, perlawanan pertamanya menentang Khon Kaen United Sabtu lalu membuktikan dia sudah serasi bersama Ratchaburi FC sekali gus mampu menjadi antara penggempur utama kepada pasukan.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pemain lain namun situasi berkenaan bukanlah masalah besar apabila dia akan berusaha keras memastikan namanya berada dalam kesebelasan utama.

“Segalanya berjalan lancar dengan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan juga banyak membantu sebaik tiba di Thailand.

“Agak sedih apabila gol yang dijaringkan pada perlawanan menentang Khon Kaen United tidak dikira kerana sistem video bantuan pengadil (VAR).

“Namun, itu juga menjadi peniup semangat untuk beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang seterusnya berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol untuk pasukan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, kemunculan pertama Safawi di pentas Liga Thailand menyaksikan dia hampir mencetak nama sebagai penjaring gol sebelum dinafikan menerusi VAR.

Safawi, 25, yang baharu menyertai skuad The Dragon secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menunggu lama untuk menghadirkan impak betapa kehadirannya di Liga Thailand bukanlah sekadar pelengkap pasukan.

Pemain sayap berkaki kiri itu memainkan peranan cukup besar dengan berjaya menjana serangan demi serangan ke kubu lawan.

sumber:-HM

Selain itu, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, sasarannya kini adalah membantu Ratchaburi FC mencipta keputusan positif sekali gus berada di kelompok teratas liga.