sukan

Hampir keseluruhan pemain adalah muka baharu

Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira mengharapkan pembentukan pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bakal membuahkan hasil memuaskan.

Selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot musim lalu, skuad Harimau Kumbang dikatakan melakukan perubahan besar dalam misi mereka untuk bangkit sebagai sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran bermakna dalam Liga M.

Mengakui hampir keseluruhan pemain yang membarisi pasukan itu adalah muka baharu, Manzoor mahu anak buahnya dapat cepat menyesuaikan diri menjelang cabaran saingan Liga Super bermula bulan depan.

“Kita adalah pasukan underdog kerana hampir keseluruhan pemain termasuk import adalah baharu dan saya tidak mengharapkan keajaiban kecuali pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Harap hasil daripada persiapan pra-musim ini akan dapat memperkasakan pasukan dan berlaku peningkatan prestasi dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

“Bagi pemain import, saya mengharapkan mereka dapat membuktikan sesuatu yang terbaik buat pasukan musim ini,” kata Manzoor selepas aksi persahabatan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Dalam aksi pemanas badan itu, Penang FC menang 2-1.

Mengulas lanjut berkenaan kehadiran pemain import dari Lubnan, Hassan Ali Saad, Manzoor mengakui pemain itu memerlukan masa untuk mempamerkan kehebatannya.

“Saya hanya dapat mengharapkan sesuatu yang positif daripada semua pemain termasuk Hassan dan kita berharap Penang dapat mencipta pencapaian yang membanggakan musim ini,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Beliau juga mengakui usaha membentuk pasukan itu sudah lengkap dan kini fokusnya hanya untuk memperkasakan kekuatan pasukan menjelang saingan Liga Super bulan depan.

sumber : HM

Manzoor adalah jurulatih yang membawa perubahan kepada corak permainan Penang FC, dua kali meraih tiket ke Liga Super 2020 dan 2021, namun kelayakan pada 2020 dibatalkan akibat masalah tunggakan gaji meskipun menjuarai saingan Liga Perdana buat kali pertama dalam sejarah pada musim 2020.