sukan

Hanya mampu diselesaikan menerusi campur tangan FIFA

Isu tunggakan gaji yang membelenggu saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak sekian lama hanya mampu diselesaikan menerusi campur tangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Pandangan itu disuarakan tonggak kacukan, Stuart Wark yang melihat isu berkenaan seolah-olah tiada penghujungnya meskipun sudah pelbagai cara digunakan untuk membendung masalah itu.

Katanya, dia begitu kecewa melihat ramai pemain terpaksa berdepan mimpi ngeri itu termasuk dua pasukan Liga M yang sedang bergelut menyelesaikan tunggakan gaji iaitu Melaka United dan Sarawak United.

“Realiti pahit yang harus ditelan ramai pemain muda di Malaysia. Berbulan-bulan tanpa gaji, sedang mereka mempunyai keluarga yang harus ditanggung.

“Jadi mereka terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan hidup. Ramai berputus asa dan menamatkan karier sebagai pemain profesional kerana kitaran ini tidak akan pernah berakhir,” katanya yang beraksi untuk Sarawak United musim lalu.

Wark, 34, yang mempunyai darah campuran Malaysia-Scotland mengakui ramai pemain enggan bersuara atau membuat aduan secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana bimbang akan disenarai hitamkan daripada menyertai pasukan lain.

Menurutnya, dia pernah berdepan situasi itu apabila gajinya tertunggak beberapa bulan ketika bermain dari 2018 hingga 2022 dan ia nyata mengganggu fokus serta dan prestasi pemain.

“Terima kasih kerana berkongsi. Sesuatu perlu dilakukan segera. Pemain diam kerana mereka takut disenarai hitam oleh kelab.

“PFAM melakukan apa yang mereka mampu untuk membantu pemain, tetapi bantuan sebenar harus datang dari Fifa. Pemain tempatan tidak mempunyai perlindungan mencukupi dan hingga kini mereka menderita teruk,” katanya di laman sosial termasuk membalas perkongsian wartawan tempatan mengenai isu terbabit.

Ketika ini, dua kelab Liga M masih gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai sejak setahun lalu dengan Melaka United berhutang sejumlah RM2.3 juta.

Sarawak United pula dilaporkan masih gagal melunaskan tunggakan gaji mencecah lebih RM400,000.

Jumlah terbabit didedahkan PFAM yang mengakui sudah menggunakan pelbagai cara untuk menagih tunggakan itu, namun pemilik dua kelab terbabit masih culas melangsaikan tunggakan itu.

Sejak 2015, Wark beraksi bersama beberapa pasukan di L M selepas memulakan kariernya di Malaysia bersama JDT II dan berpindah ke pasukan Sabah, Felda United, Penang, PDRM, Terengganu dan kali terakhir bersama Sarawak United, musim lalu.

sumber:-HM

Kini pemain berusia 33 tahun itu memilih untuk berkelana di bumi Thailand dan beraksi dalam saingan Liga Thai 2 bersama pasukan Kesetsart FC.