Hiburan sukan

Komen Nafuzi aksi pra-musim Kedah

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal memiliki penyerang kedua bagi melengkapkan persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ini susulan skuad kendalian Nafuzi Zain itu mahu memiliki pilihan terbaik bagi mempertajamkan jentera serangan pada musim ini yang turut disertai penyerang utamanya Willian Lira dari Brazil.

Menurut Nafuzi, penyerang import kedua yang sudah dikenal pasti itu bakal tiba dan menyertai pasukan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, akan ada seorang lagi penyerang import yang akan bersama pasukan bagi memperkuatkan posisi serangan dalam masa terdekat ini.

“Ini kerana di posisi berkenaan, kita akan ada dua pilihan kerana kita memerlukan skuad dengan pemain yang benar-benar bersedia dan memiliki pilihan daripada segi pemain import dan juga pemain tempatan dalam memberi saingan terbaik pada musim ini,” kata Nafuzi.

Nafuzi turut berpuas hati dengan keputusan perlawanan pra-musim ketiga apabila Sang Kenari menewaskan skuad Projek FAM-MSN (SPFM) 6-0 di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar malam tadi.

Enam gol berkenaan disumbangkan oleh Lee Tuck pada minit ke-22 dan 27, Willian Lira (m-23), Amirbek Juraboev (m-38), gol sendiri SPFM (m-51) dan Al-Hafiz Harun (m-90) menerusi sepakan penalti.

“Saya rasa gembira kerana dari masa ke masa ada peningkatan daripada segi persefahaman, cara bermain dan daripada apa yang diusahakan melalui latihan setakat ini, saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.

“Tidak kira dengan pasukan mana yang kita hadapi, saya akan melihat dan menilai setiap perlawanan yang dilalui ini daripada semua aspek yang mana itu penting untuk perkembangan pasukan menghadapi saingan sebenar musim ini.

“Memang kita tidak bolos dalam tiga perlawanan pra-musim yang kita lalui setakat ini, tetapi masih ada banyak kelemahan, antaranya daripada segi pertahanan dan beberapa aspek lain yang kita perlu perbaiki dan tekankan. Ini akan kita akan lakukan peringkat demi peringkat untuk persediaan pasukan.

sumber:-HM

“Selepas ini kita akan berhadapan dengan pasukan yang lebih kuat dan lebih mencabar untuk menguji tahap kemampuan kita yang sebenar,” katanya.