sukan

NSFC dijangka hanya menggunakan lima pemain import

Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) dijangka hanya menggunakan khidmat lima pemain import berbanding sembilan yang dibenarkan, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengendalinya, K Devan berkata, penggunaan pemain import bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan, namun beliau belum mahu mengumumkan senarai pemain berkenaan.

Beliau yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk membawa masuk pemain import yang sudah dikenal pasti termasuk kemungkinan seorang pemain musim lalu yang akan dikekalkan.

“Memang kita dalam proses (mendapatkan barisan pemain import), malah kita juga sudah kenal pasti kesemua pemain berkenaan yang akan dibawa masuk dalam pembentukan pasukan baharu bagi menghadapi saingan musim ini.

“Saya mengharapkan pihak pengurusan tertinggi pasukan akan membuat keputusan dan mengumumkan pemain berkenaan, dalam masa terdekat.

“Daripada segi kuota pemain import, ia akan bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan namun sekurang-kurangnya kita memerlukan lima pemain import dengan setakat ini mungkin seorang pemain musim lalu dikekalkan,” kata Devan.

Devan ditemui media selepas aksi persahabatan antara Negeri Sembilan menentang Penang FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Sebelum ini timbul desas desus bahawa pemain pertahanan kental musim lalu, Herold Goulon kemungkinan satu-satunya pemain import yang dikekalkan.

Mengulas berkenaan kemungkinan bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kelahiran Jordan, Mahmoud Al-Mardi dan bekas pemain Sri Pahang FC, Matias Conti, bakal menyertai skuad Hobin Jang Hobin, Devan berkata perkara berkenaan belum dapat disahkan.

Menurut pengendali kelahiran Bahau itu, kedudukan kedua-dua pemain terbabit hanya akan disahkan selepas mesyuarat pengurusan tertinggi NSFC, minggu depan.

Beliau bagaimanapun mengakui perbincangan sudah diadakan dengan kedua-dua pemain terbabit.

“Memang ada perbincangan dibuat dengan kedua-dua pemain ini, tapi keputusan akan dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi NSFC kerana ia akan bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Devan mengakui pihaknya tidak menghadapi masalah besar dalam membentuk sebuah pasukan mantap meskipun membawa masuk 14 pemain tempatan baharu musim ini.

“Dalam kalangan mereka ini, rata-rata ada pengalaman beraksi dalam Liga M dan saya fikir ia tidak menghadapi masalah sangat dari segi membentuk keserasian dan persefahaman antara pemain.

“Cuma seorang dua pemain yang mungkin dianggap baharu dalam liga ini tapi saya yakin dan percaya, mereka akan cepat menyesesuaikan diri dalam pasukan,” katanya.

Jurulatih yang membawa Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim 2021 itu turut memperakui kemampuan Mahali Jasuli.

sumber:-BH

“Walaupun dia dikatakan sudah berusia, tapi masih boleh beri sumbangan terbaik dan saya yakin dengan usaha dia untuk kekalkan prestasi itu sepanjang musim ini,” katanya yang belum mahu mengumumkan sasaran pasukan itu musim ini selepas menamatkan saingan di tempat keempat Liga Super musim lalu.