Bukan setakat memiliki kemahiran yang bagus, namun perangai turut ‘ditapis’ sebelum Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikat mana-mana pemain import untuk kelab berkenaan.
Perkara itu didedahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui sikap pemain juga amat penting dan pemilihan dibuat dengan teliti tidak hanya sekadar ‘tangkap muat’.
“Bagi pemilihan pemain import, kita dapat bantuan daripada pasukan saya dan mereka hubungi saya, saya maklumkan jenis pemain yang saya mahukan.
“Beberapa pilihan diberikan dan pasukan pemantau ini akan ke sana untuk mengikut pemain selama dua minggu. Bukan hanya tengok cara bermain bola sepak tetapi sikap dan perangai mereka juga.
“Boleh atau tidak timbulkan apa-apa masalah dalam pasukan. Perkara ini sangat penting dan selepas mendapat laporan penuh, barulah pemilihan dibuat,” katanya menerusi segmen Bekpes Hot di stesen radio Hot FM, kelmarin.
Dalam masa sama, Tunku Ismail mengakui beliau agak tegas dalam mengendalikan barisan pemain apatah lagi skuad Harimau Selatan dibarisi ramai pemain berkaliber dan bintang ternama.
“Tuntutan saya amat tegas daripada segi persembahan kerana mereka bukan menerima gaji yang kecil. Mereka sentiasa bersikap profesional dalam menjalankan tugas mereka.
sumber:-BH
“Saya selalu menjaga kebajikan dan pemain dapat memberi maklumbalas dengan positif. Kami tahu bagaimana untuk menjaga orang yang bekerja dengan kami dan mereka akan berikan sepenuhnya,” kata Tunku Ismail.