sukan

Izhan kembali fokus pertahankan gawang NSFC

Selepas kecewa kerana terpaksa melepaskan tujuh gol kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, penjaga gol utama Negeri Sembilan FC (NSFC), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, kini bersedia untuk kembali mempertahankan gawang pasukan itu pada aksi Liga Super berikutnya.

Menjelang pertembungan dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok, pemain berusia 21 tahun itu berazam untuk menggandakan kekuatan bagi memastikan gawang skuad Hobin Jang Hobin tidak lagi bolos.

Menurutnya, dia tidak rela pasukannya terus kempunan meraih kemenangan ketika memasuki perlawanan keempat musim ini, selepas dua aksi terdahulu sekadar mencatatkan keputusan seri.

“Secara peribadi, saya sudah bersedia untuk mengawal gawang pasukan dengan baik khususnya pada perlawanan menentang Terengganu di laman sendiri, malam esok.

“Kekecewaan akibat kekalahan kepada JDT yang lalu, sudah saya lupakan dan kini fokus untuk membuka lembaran baharu kerana perjuangan masih jauh dan perjalanan liga masih panjang.

“Saya bersama rakan sepasukan akan bekerja keras memastikan pertembungan dengan Terengganu ini dapat kami menangi kerana ia peluang terbaik yang harus kami rebut dengan keputusan yang baik,” katanya di sini, hari ini.

Izhan Nazrel yang berasal dari Pulau Pinang terus mendapat kepercayaan daripada barisan jurulatih untuk menjaga gawang Negeri Sembilan apabila diturunkan pada perlawanan dengan Kuala Lumpur City FC, namun perlawanan terpaksa ditunda kerana hujan.

Dia berjanji akan berusaha sehabis baik bagi melaksanakan mandat yang telah diamanahkan oleh pihak jurulatih dalam menjaga gawang pasukan itu daripada ditembusi gol lawan.

“Kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih (K Devan) untuk saya terus menjaga gawang pasukan meskipun telah melepaskan tujuh gol kepada JDT, membakar semangat saya untuk melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin.

“Kami tahu harapan tinggi peminat dan penyokong pasukan ini dan kami akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Penjaga gol pasukan Bawah 23 Tahun Kebangsaan itu akui, dia dan rakan sepasukan amat dahagakan kemenangan dan tidak mahu sasaran berkenaan tersasar sekali lagi pada pertembungan dengan Terengganu, esok.

Dia percaya semua pemain yang akan dipilih dan diberikan tugas menggalas tanggungjawab itu nanti akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukan mencapai kemenangan pertama musim ini.

sumber:-HM

“Apapun yang penting, kami semua perlu kekal fokus, tapi perlu juga bersikap berhati-hati dengan strategi pemain lawan kerana Terengganu juga ada kekuatan tersendiri dan kami tidak boleh leka serta melakukan kesilapan,” kata Izhan Nazrel yang beraksi bersama Selangor FC, musim lalu.