sukan

Luqman semakin menyerlah di Iceland

Penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin terus mempamerkan taring di Iceland apabila meledak lagi dalam aksi persahabatan yang diadakan secara tertutup awal pagi tadi.

Luqman, 21, diturunkan dalam kesebelasan utama UMF Njardvik dan berjaya meledak satu gol pada minit ke-23 sebelum IR Reykjavikur bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi B F Helgason di minit 42.

Bagaimanapun keputusan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat sehingga wisel penamat biarpun UMF Njardvik memiliki beberapa peluang untuk menambah gol.

Sebelum ini, Luqman sudah meledak dua gol juga dalam aksi persahabatan ketika menentang Haukar FC.

Luqman yang berjaya dihubungi Arena Metro sebelum ini menjelaskan, ketika ini dia banyak beraksi dalam perlawanan persahabatan kerana Liga Iceland belum bermula.

Saingan liga di negara itu akan mula pada Mei ini selepas habisnya musim sejuk di negara itu.

“Sekarang kami banyak berlatih dan main perlawanan persahabatan. Sekarang masih musim sejuk dan liga tak jalan lagi.

“Bulan lima (Mei) baru akan mula, tapi saya kena beri yang terbaik dalam setiap kali latihan serta perlawanan persahabatan.

“Saya kena tunjukkan kemampuan saya agar jurulatih dapat melihat dan mana tahu saya akan keras diturunkan bila liga mula nanti,” katanya.

Difahamkan, selain menunggu liga bermula, Luqman juga masih menanti visa dan juga permit kerja daripada kerajaan tempatan bagi membolehkan dirinya dapat diturunkan dalam saingan Liga Iceland.

Untuk rekod, Luqman dipinjamkan ke UMF Njardvik dari KV Kortrijk (KVK) selama semusim bermula Februari lalu.

Dia yang pernah tergolong antara 60 pemain muda paling berbakat di dunia oleh The Guardian mula menyertai KVK pada Oktober 2020 dengan ikatan kontrak lima tahun dengan kelab divisyen satu Belgium itu.

sumber : HM

Begitupun selepas dua musim, pemenang kasut emas Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 lalu itu dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya diturunkan dalam skuad pembangunan KVK saja.